Diari untuk Suamiku
JAM di dinding menunjukkan sudah pukul 12 malam. Tapi mata aku masih belum mengantuk lagi. Mentanglah esok hari sabtu, pandai pula mataku hendak berjoli sendiri. Lampu meja, ku hidupkan biar menerangi sudut bilikku yang sederhana luas. Bantal aku tegakkan dan menyandarkan tubuh dengan selesa di atasnya. Seketika aku terkebil-kebil tidak tahu hendak berbuat apa. Tempat pembaringan di sebelah yang kosong kulihat sekilas. Terus saja aku teringatkan dia. Ya, dia isteriku. Isteri yang aku cintai dengan sepenuh hati. Spontan senyum kecil melirik di bibir. Laci kecil di tepi meja katil aku tarik perlahan. Jelas kelihatan buku skrap yang masih elok keadaannya di depan mata. Aku tarik keluar dengan berhati-hati. Saban malam, inilah aktivitiku jika mata sukar dilelapkan. Membaca semula bait-bait kata yang dicoretkan oleh isteri tercinta dalam diari yang dikhaskan buat suaminya. Aku. Diari buat diri aku yang diberi nama, diari buat suamiku. Muka surat pertama aku selak. Masuk ini sudah kali ke berapa aku mengulangnya. Tidak terkira dan tak mampu untuk di kira. Aku membaca setiap barisan ayat yang dicoretkan oleh si dia tanpa rasa jemu. 2 April 2010, 12:45 a.m Pertama kali Hawa mencoretkan sesuatu dekat sini. Entah bila Hawa nak bagi abang sayang baca nukilan ni… abang sayang (memang selayaknya gelaran ni yang Hawa kena panggil bagi seseorang yang sudi berkongsi rusuk kirinya dengan diri ini). Hari pertama menulis, jadi Hawa tak tahu sangat hendak tulis apa. Tak apa, mungkin Hawa boleh kongsikan tujuan Hawa mencatatkan diari ini untuk tatapan abang. Sebabnya, ia adalah hadiah istimewa dari Hawa untuk abang, orang yang selayaknya mengetahui segala rahsia diri Hawa. Hanya abang seorang. Abang nak tahu kenapa? Hawa ada terbaca dalam blog seorang hamba Allah ni, catatan dia… dia mengharapkan jodohnya mendoakan dirinya supaya tidak berputus asa dan tersesat dalam misi mencari jodoh yang tercipta buatnya. Bila membaca coretan ayat tu, Hawa tak dapat nak halang fikiran Hawa dari teringatkan abang. Abang yang dijanjikan untuk menjadi pendamping Hawa oleh DIA. Hawa ingatkan diri agar terus mendoakan abang supaya dalam mengawal diri dari perkara yang dilarangnya dan berharap kita akan disatukan dalam keadaan yang diredhaiNYA. Terfikir juga, kalau-kalau abang anggap Hawa ni gila orangnya. Mencoretkan diari sebegini untuk bakal suami Hawa… oh, abang sayang… Hawa tak gila ya! Cumanya otak ini tak berapa nak center sejak teringatkan abang. Dan tolong percaya, di saat ini… Hawa masih tak mengenali siapa diri abang. Semoga dalam setiap coretan yang bakal terkandung dalam diari ini mampu membuatkan abang mengenali Hawa. Salam dan sayang buat abang, Nur Hawani. Abang pun sayangkan Hawa. Ucapku dalam hati. Itu adalah coretan pertama Hawa yang benar-benar memberi kesan dalam hatiku. Barisan ayat yang menekankan tentang harapan bakal isteri mengharapkan bakal suaminya dapat mengawal diri dari segala larangan yang ditegah olehNYA. Tapi aku? Ah… banyak sungguh dosa yang telah aku tempah di muka bumi ini. Nur Hawani. Sebaris nama yang begitu menggetarkan kalbuku. Si gadis yang sempurna serba serbi. Tarikh bermulanya catatan diari itu diamati. Dan sebenarnya tarikh itulah hatinya telah mula terpaut pada diri Nur Hawani tanpa gadis itu sedari. Bagaikan masih segar dalam ingatan, pertemuan pertama mereka… “ENCIK Rizman,” aku berpaling tatkala ada suara yang memanggil namaku. “Bos panggil nak jumpa,” maklum Suriati, setiausaha bos di tempat aku bekerja. “Orait. Thanks ya,” balasku pendek dan kembali menghala pandangan pada PC di hadapanku. “Masuk sekarang… bos nak jumpa sekarang.” Suriati macam tahu saja aku nak masuk lambat sikit, lantas digesa aku supaya segera bergerak ke bilik bos. Hendak tak hendak, aku bangun juga melangkah dengan malas menuju ke bilik bos. Nampak sungguh, tak ikhlas langsung. Pintu bilik yang tertera nama Sufian Usman itu ku ketuk dahulu sebelum masuk. “Ya bos,” sapaku sambil melangkah masuk. Bos aku yang sememangnya terkenal dengan senyuman memikatnya, tersenyum dengan lebar sekali. Aku menjungkit kening, tak faham. Dia panggil aku suruh masuk, lepas tu aci senyum gaya menang loteri. Apa cerita? “Duduk dulu Man,” pelawa bos. Aku pun ikutkan saja. Takkan nak berdiri pula kan. Mahu lenguh kaki aku. “Ni… nak habaq…” ucapnya membuka kata. Aku pun lupa nak habaq, bahawasanya bos aku ini adalah orang utara. Loghat utaranya memang tak dapat nak dipisahkan dah. “Ada orang baru untuk deparment kita,” sambungnya dengan sengih gatal di wajah. Ah! Sudah aku duga… mesti Encik Sufian dah kena sampuk dengan hantu keladi, kan dah keluar habis aura miang keladinya. “Bila lapor diri?” terus aku menyoal. Intro Encik Sufian pastinya panjang lebar dan hanya akan membuang masaku yang begitu berharga. “Sat lagi.” “Oh… okey. Bos nak suruh saya buat apa?” “Macam biasa… Man kan pandai bab-bab nak mengayat ni. Nak minta khidmat nasihatlah ni.” Encik Sufian tersengih lagi. Dan lagi sekali dah aku duga, bab-bab nak menjahanamkan anak dara orang, dia mesti cari aku. Tapi tak apa… aku pun… suka juga. Hahaha. Dah mula tumbuh tanduk dua di atas kepala. Manalah nak selamat anak-anak dara yang datang melapor diri dekat deparment ini kalau ada pekerja dan bos macam buaya tembaga. Tahunya nak NGAP saja. “Beres bos!” laju saja aku setuju. Orangnya pun belum aku lihat. Mahunya kalau muka macam Mak Temah yang duk jual popia goreng dekat seberang jalan tu, mahu aku pengsan nak mengayat. Bukan pengsan tak reti reka ayat… tapi pengsan sebab aku tak lalu tengok muka dia yang sebijik macam popia goreng juga. Dan pagi itu aku diperkenalkan dengan pegawai baru yang melaporkan diri di tingkat 18 ini. Amira namanya. Pada pandangan aku, bolehlah… setakat nak tolong reka ayat untuk gadis ini, rasanya semudah kacang peas saja. Tutup mata pun gerenti boleh jalan. Sesudah menurunkan segala ayat dan petua terbaik pada bos, aku kembali bertapa di depan PC. Menyiapkan kerja-kerja yang patut aku siapkan. Haish… penat sungguh. Mana nak kejar dateline proposal. Mana nak kejar gadis-gadis cun lagi. Semuanya hanya membuatkan aku lelah. “Cik… tumpang tanya,” sebaik saja aku melabuhkan punggung di kerusi, ada satu suara yang begitu menarik pendengaran telinga. Halusnya. “Amira, pegawai yang baru melapor diri, ada kat sini tak?” soal suara halus itu lagi. “Yup. Ada dalam bilik bos. Cik cari dia kenapa ya?” suara Suriati menyoal pula. Aku masih belum mengangkat wajah. “Dia tertinggal handbag dalam kereta, itu yang saya datang nak bagi.” “Saya boleh tolong bagi sebab cik Amira rasanya lama lagi dalam bilik bos tu.” Untuk jawapan Suriati itu aku tergelak kecil. Pasti saja Amira tersangkut lama dalam bilik bos. Buaya tembaga seekor itu nak mulakan sesi mengayat. Dia tak kira cun tak cun… semua dia main bedal saja. Lainlah kalau aku, pilihan aku mesti kategori yang terbaik punya. Mungkin sebab itu aku masih belum dapat mengayat seorang gadis pun untuk diri aku sendiri. “Kalau saya nak tunggu boleh?” soal suara halus yang nyata pada pendengaran aku agak kurang percaya dengan kami yang ada dekat sini. Dia bercakap dengan Suriati, tapi aku pula yang terasa sekali. Eh… eh… perempuan ni. Tiba-tiba aku rasa nak hangin. “Tak apa cik… lama kalau cik nak tunggu ni. Tak ganggu kerja cik ke?” ayat Suriati nyata tidak mampu hendak yakinkan perempuan bersuara halus itu. Aku dah tak tahan geram. Agaknya dia nampak muka kami macam muka penyamun kot. Sampaikan handbag pun dia tak berani nak tinggal. Dengan penuh emosi, aku bangun dan mendekati gadis yang membelakangi aku. Huh! “Cik… tinggal sajalah beg tu. Kami ni bukannya perompak nak rompak beg kawan cik tu,” ucap aku sinis. Aku sudah bersandar pada meja Suriati sekaligus membolehkan aku mencuri pandang ke wajah cik tadi. Dia tunduk. Langsung tak angkat muka. Langsung tak kalih pandang wajah aku yang handsome macam Adi Putra. Adi Putra pun tak handsome macam aku. Aku handsome lagi! Mata aku langsung tak lepas pandang pada dia yang tertunduk macam nak sujud lantai saja. Macam tahu-tahu pula yang aku nak telek muka dia. Sebab suaranya dah boleh menarik jiwa lelaki aku. Nak juga aku tengok muka dia. Boleh lulus penilaian tak. Kalau lulus, nak aku ‘halau’ dia dari deparment ini sebelum bapa segala buaya muncul di antara mereka. “Betul kata Encik Rizman ni cik… tinggalkan saja. Saya boleh tolong bagi. Takkan cik tak percaya dengan kami dekat sini,” lembut saja suara Suriati bercakap dengan perempuan tu. Aku mendengus kuat. Dengan orang macam ni, perlu ke bercakap-cakap dengan cara diplomasi begini. Lantas aku tarik saja beg yang berada di pegangan perempuan itu. Sekuat tangan aku merentap beg itu, sekuat itu jugalah aku rasakan jantung aku direntap saat jelingan tajamnya menusuk masuk ke dalam pandangan mataku. Jelingan yang tidak lebih dari lima saat itu sudah membuatkan aku hilang arah. Tak pernah aku jumpa ciptaan yang begitu indah yang berjaya menggoyahkan hati lelakiku dalam sekelip mata. Dan saat itu aku sedar, bahawa aku sudah jatuh cinta dipanah jelingan mata yang tajamnya benar-benar menusuk ke dalam jiwa. DAN tidak akan dia lupakan pertemuan itu yang masih kekal dalam minda hingga ke saat ini. Dia juga tidak pernah lupa setiap reaksi dingin yang dipamerkan oleh Hawa tatkala dia hendak memainkan ayat pemburu cinta terhebatnya. Namun tak pernah dia sangka, susahnya nak memikat hati Hawa yang seolah terikat dengan seseorang saja. Tapi siapa? Diari untuk suamiku menjawab segala persoalannya pada ketika itu. Diselak lagi helaian diari yang masih setia dalam pegangannya. 30 April 2010, 2.30 p.m. Abang sayang… Hawa nak buat apa ini? Kenapa bila Hawa nak jaga hati Hawa untuk abang seorang, ada saja insan-insan yang hendak mencabuli hak itu? Mungkin dia dalam proses nak mencari bakal jodohnya, tapi kenapa dengan cara begitu. Bukan ke Islam dah menganjurkan cara yang terbaik untuk mencari jodoh. Merisik, meminang, bertunang kemudiannya alam perkahwinan. Kenapa semua tu seolah ditolak ke tepi dan mereka mengamalkan trend begini? Rasanya… abang pun akan buat macam itu ke? Mengejar si dia dengan sehabis daya walaupun perempuan itu dah berusaha menjauhkan diri? Kalau ya abang pernah berbuat begitu… tidak banyak, tapi pasti ada sedikit rasa kecewa di hati Hawa. Kalau Hawa boleh menjaga hak abang, pasti saja abang pun boleh menjaga hak Hawa. Tak apa, Hawa akan sentiasa doakan abang tak kira di mana abang berada. Semoga abang akan terhindar dari perkara sedemikian rupa. Salam dan sayang buat abang, Nur Hawani. Aku mengeluh kecil. Bait ayat yang tercatit walaupun sudah terakam dalam minda namun aku masih tidak jemu mengulang baca. Manakan tidak, kalau dalam setiap helaian coretan Hawa dalam buku ini adalah mengenai dia. Dia yang begitu gigih mengganggu gadis itu siang dan malam. Tak dapat jalankan misi di pejabat, dia turun padang nak buat ‘kacau’ di rumah sewa Hawa. Tak tersangka, semua itu tercoret dalam setiap barisan ayat dalam diari ini. Memang kaki complain betul Hawa ini. Complain pada bakal suami. Namun bila difikirkan cara Hawa yang begini, nampak manja saja tingkah gadis itu… mengadu pada yang hak katanya. Dan setiap kali dia membaca perkataan abang sayang, hatinya berbunga riang. Sungguh dia benar-benar sayangkan Nur Hawani. Tiada yang lain. 28 Mei 2010, 11:35 p.m. Abang sayang… berani sungguh dia itu mengacau jodoh abang ini. Hawa dah buntu tak tahu nak buat apa. Gangguan dia hanya buat Hawa rasa tak selesa. Hawa tak suka bila orang menggangu Hawa dengan cara begini. Tak beradab. Tak bersopan. Dia pegang tangan Hawa abang! Hawa marah… dia senyum pula. Abang… kalau abang berani buat macam itu dengan anak dara orang, siap abang! Aku tak dapat nak menahan bibir aku dari meletuskan tawa. Aku membayangkan lagi wajah ayu Hawa mengucapkan ayat itu. Siap abang! Aduh… makin aku mengulang baca diari ini, makin bercambah rasa sayangku yang tidak pernah putus untuknya. Aku akui, aku agak ‘nakal’ orangnya. Lebih-lebih lagi setelah bertemu empat mata dengan Hawa. Aku begitu bersungguh hendak memikatnya. Segala cara aku guna, melainkan cara yang telah disebutkan Hawa dalam diarinya. Mana aku nak tahu dia suka mengunakan kaedah itu. Ala-ala arrange marriage gitu. Kalau aku tahu, tak perlu aku menyakitkan hatinya dengan tingkah aku yang ikut suka hati aku saja. Aku tahu dia tak suka langsung. Teringat pula pada satu kejadian yang benar-benar membuatkan permaisuri hatiku mengamuk sakan. Tak pernah aku tengok dia angin sehingga ke tahap itu sekali. Selama ini, habis kuat pun… dia jeling saja. Tapi kali ini menunjukkan dia betul-betul marah. Sebab, aku dengan selambanya pergi peluk dia. Mana dia tak marah. Hampir aku hilang ‘nyawa’ jugalah saat dia menghadiahkan penangan hebat di bahagian ‘sensitif’ tubuhku. Di petang hari, kala awan merenjiskan hujan gerimis ke atas bumi yang kering, aku buat drama swasta. Aku kejar Hawa yang sudah berlari menjauhi aku. Mungkin dia ingat aku nak rogol dia agaknya. Tapi kalau dilihat gaya aku nampak begitulah. Elok dia tengah terpacak seorang diri nak pergi ke tempat parkir kereta. Aku dengan kuasa veto gaya suami dia saja pergi peluk dia dari belakang. Hah, sekali ambik habuan aku! 9 Jun 2010, 7:00 p.m. Abang sayang… berani-berani dia peluk Hawa, abang. Dia buat Hawa takut. Dia buat Hawa rasa tak nak keluar dari rumah. Hawa rasa, Hawa dah mula bencikan dia. Walaupun Hawa takut nak pupuk rasa benci tu. Mak selalu pesan dengan Hawa… jangan terlalu membenci, nanti bertukar jadi sayang pula. Hawa nak sayangkan abang seorang saja. Hawa tak nak dia. Dia bukan orang Hawa cari untuk menjadi imam Hawa. Hawa takkan boleh terima kalau abang berperwatakan macam tu. Kenapa orang zaman sekarang dah makin kurang menitikberatkan soal agama? Hawa bimbang… Hawa harap, abang sayang… jangan begitulah hendaknya. Hawa selalu doa, tak pernah lupa… supaya abang akan sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dari DIA. Semoga abang dapat jadi pemimpin keluarga yang soleh. Yang akan dapat pimpin Hawa dan anak-anak kita kelak. (Jauh benar angan-angan Hawa kan?) Jumpa abang pun belum… dah macam-macam pula Hawa berangan. Kalau dia tahu akan angan-angan Hawa itu, awal-awal lagi dia akan hantar rombongan meminang. Buat susah payah dan buang tenaga saja mengurat gaya kasanova. Bukannya Hawa layan. Berbuih mulut dia menuturkan ayat yang bakal mencairkan hati-hati pendengarnya. Tapi Hawa… nak cair apanya, baru dia nak bergaya romantik, Hawa dah lesap dari pandangan mata. Masih teringat lagi pada suatu petang itu… AKU nampak saja kelibat Hawa di perhentian bas, laju saja aku memulas minyak motor Lagenda aku dah berhenti betul-betul di hadapannya. Dalam hati dah pelik, kenapa Hawa ada di stesyen bas? Kereta dia ada masalah ke? Kalau betul ada masalah, aku boleh hantar dia balik rumah. Sempat lagi aku buat planning ikut suka hati… “Hawa… buat apa dekat sini?” tanpa dapat aku tahan, soalan itu juga yang meluncur keluar dari bibir. Rasa macam nak pergi hempuk saja kepala aku dekat tiang bus stop tu. Bodoh! Dah elok dia duduk dekat bus stop, mestilah tunggu bas… takkan nak beli ikan pula. Soalan aku tak berjawab. Macam biasa. Dia tak pernah nak jawab sepatah apa pun yang aku tanya. Tapi aku tetap sabar. Sabar dalam nak memiliki hatinya yang terasa sukar saja untuk aku menggapainya. Sambil menanggalkan helmet untuk mempamerkan wajah aku yang kacak itu, aku berjalan merapati diri Hawa. Ini belum insaf lagi lepas dia bagi hadiah tendangan maut dekat aku dua bulan lepas. Aku labuhkan punggung betul-betul rapat dengan dia. Wajah Hawa tersentak. Aku nampak dengan jelas, wajahnya memerah dengan serta merta. Dia marah! Terus saja dia bangun dan berdiri, mungkin dah berkira nak melangkah dari situ. Tapi aku lagi cepat menangkap lengannya. “Lepaslah!!!” bentaknya. Buat pertama kali, dia marah aku guna mulut. Sebelum ini tak pernah. Tiba-tiba aku rasa macam dapat bunga saja. Parah betul tahap angau aku pada Hawa. Sampaikan dia marah pun aku rasa bahagia. Kalau beginilah rasa indahnya mendengar suaranya yang begitu mahal untuk aku… dia marah hari-hari pun aku tak kisah. “Kenapa Hawa nak marah-marah ni? Riz nak berbaik saja dengan Hawa… salah ke?” soalku lembut. Dan secara automatik juga nama samaran aku bertukar jadi Riz. Selama ini elok saja orang lain panggil aku Man. Dengan Hawa… dan-dan aku tukar jadi Riz pula. Bunyinya agak glamour sikit dari Man. Hahaha. Sempat! “Lepaslah!!!” itu juga yang diulang oleh Hawa. Entah apa masalah dia. Aku tak mengerti pada ketika itu. Susah sangat ke dia hendak berbicara dengan aku? Bunyi hon yang membingitkan membuatkan aku tersentak. Kereta Nissan Murano berhenti betul-betul di hadapan bus stop itu. Aku nampak ada seorang lelaki keluar dari tempat pemandu. Aiseh… masa itu dah mula mengecut sedikit otot perut aku. Mahu aku kena belasah dekat bus stop ni, jatuh imej! Dalam pada tengah kecut perut, hampir tersembul saja mata aku bila lelaki itu selamba saja memeluk bahu sayang aku ni. Sayang akulah… Nur Hawani. Naik sakit hati aku melihatnya. Dengan aku, dia bagi penendang. Dengan lelaki itu, dia layan dengan kasih sayang. Mana adilnya penilaian Hawa? Aku kecewa sungguh. Mentanglah orang itu datang naik Nissan, langsung tak pandang aku ni. Aku pun ada keretalah. Honda Civic lagi. Cuma tak nak tunjuk saja. Bukan apa, takut Hawa pengsan tengok aku guna Honda Civic versi 90-an. Kereta warisan tu, tak boleh nak bertukar sesuka hati. Akhirnya tanpa dapat berbuat apa, aku melihat saja Nissan Murano itu meluncur laju membawa Hawa aku. Masa itu apa yang aku rasa hanyalah kecewa, sedih, dukacita dan segala yang sewaktu dengannya. Namun tidak lagi setelah aku dapat tahu perkara yang sebenar. 25 Ogos 2010, 10:15 p.m Abang sayang… hari ini lagi sekali, Hawa kena kacau dengan budak ‘jahat’ tu! Nasib baik tau… along cepat sampai. Sudahlah kereta Hawa rosak. Kesian, terpaksa menyusahkan along untuk datang ambil Hawa. Tapi ada hikmah juga. Hawa nampak muka budak ‘jahat’ tu berubah terus. Lepas ni, dia takkan kacau Hawa lagi rasanya. Hawa dah boleh senyum lega. (Kalau sekarang ni, Hawa ada depan mata abang… jangan lupa minta Hawa senyum ya. Hawa nak abang tengok betapa indahnya senyuman Hawa untuk abang) =) Bakal isteri abang ni, perasankan? Hawa pasti… abang pun punya perwatakan yang sama. Perasan juga! Benarlah kenyataan dan kebenaran itu. Aku memang perasan. Malah sangat perasan. Bila baca Hawa tulis macam itu, aku rasa macam senyuman aku tak nak hilang saja. Ah, rindunya aku pada senyuman manis dia. Memang, keindahan senyuman Hawa tiada tolok bandingannya. Aku harus akui, segala yang ada pada Hawa semuanya indah belaka. Tangan aku masih ringan lagi menyelak ke muka yang seterusnya. Sempat lagi aku mengerling ke arah jam. Sudah pukul 2 pagi. Bila buka saja diari ini, aku rasa segala mengantuk yang bersarang sudah hilang. Mataku terasa segar. Lantas aku teruskan saja membaca coretan insan yang aku cintai itu. 10 Oktober 2010, 10:10 a.m Abang sayang… cantikkan tarikh dan waktu dicoretkan perasaan Hawa dalam diari ini? Hawa tengah gembira ni. Mak cakap ada orang nak masuk meminang. Abang ke tu? Hawa doa-doa… semoga inilah yang telah dijanjikan oleh DIA untuk kita. Hawa berharap sangatlah… abang dapat datang sunting Hawa secepat yang mungkin. Sebab, kebelakangan ini… Hawa asyik mimpi yang aneh-aneh saja. Hawa mimpikan seseorang… mungkin itu abang. Rupanya tak jelas. Tapi Hawa macam pernah tengok saja. Kita mungkin pernah jumpa ya? Hawa teruja sangat nak tunggu hari pernikahan kita. Oh ya… di kala abang membaca diari, tolong jangan rasa pelik sebab Hawa tak nak jumpa abang sepanjang tempoh pertunangan kita. Sebab banyak lagi yang Hawa nak coretkan untuk tatapan dan bacaan abang usai kita menjadi suami isteri yang sah. Abang… Hawa rasa, abang ada dekat dengan Hawa. Perasaan macam ini mengganggu sebenarnya. Abang rasa ke apa yang Hawa rasa sekarang ni? Pada tarikh itu rasanya ia merupakan hari yang paling teruk aku pernah alami. Emak masuk meminang anak gadis siapa entah tanpa bertanya pada aku. Tarikh yang.
tercatat di diari Hawa. Kalaulah aku tahu yang emak pergi pinang itu adalah Hawa, tak perlulah aku nak sakit hati bagai orang gila. Dah tentu-tentu aku rasa gembira saja. Macam mana emak aku boleh tiba-tiba masuk meminang Hawa? Aku pun tahu dekat-dekat tarikh pernikahan kami. Emak dengan abah Hawa sebenarnya adik beradik sangkut paut dari salasilah datuk dan nenek aku. Aku nak terangkan pun macam terbelit sebab relation dia orang pun agak membelitkan otak aku juga. Itu semua aku dah tak nampak pentingnya. Yang aku nampak… Hawa seorang saja. Betullah macam Hawa cakap. Perasaan bila berada dekat dengan Hawa memang sangat lain rasanya. Rasa berdebar. Gementar. Boleh jadi sebab ini kot dia tak dapat nak bercakap dengan aku. Sebab dia rasa nervous. Itu yang dia malu nak cakap. Tapi… tak boleh nak kata sahih juga. Sebab dia tak suka pandang pun muka aku ni. Sampaikan dah dekat tarikh nikah pun, dia masih tak tahu yang aku ni calon jodoh dia. Punyalah berpegang dengan azam dia, nak kenal aku lepas sudah sah jadi suami dia. 1 Januari 2011, 12:00 p.m Abang sayang… hari ni hari pernikahan kita. Hawa dah nampak abang. Pertama kali Hawa sentuh tangan abang dengan rela. Sebab sebelum ini abang yang ambil kesempatan dengan Hawa. Nak tahu apa perasaan Hawa lepas tahu siapa suami Hawa? Hawa kecewa. Hawa kecewa sebab abang langsung tak pernah nak jaga hak Hawa dalam diri abang. Sedangkan Hawa… Pertama kali Hawa jumpa abang di pejabat, Hawa rasakan debaran yang meresahkan jiwa Hawa. Tapi Hawa tolak semua tu. Hawa tak nak terleka dengan cinta yang Hawa tak pasti adakah abang pemiliknya. Setiap kali abang menghampiri Hawa… tak dapat dinafikan, rasa benci makin memuncak. Hawa memang tak pernah berniat nak bencikan diri abang, sebab Hawa takut Hawa terjatuh suka. Hawa minta maaf dengan abang… Hawa dah berjanji, Hawa akan cintakan suami Hawa saja, tapi tanpa Hawa sedar… sebenarnya sudah ada rasa kasih dalam diri Hawa untuk abang. Mujur saja abang pemilik rusuk yang berkongsi dengan Hawa. Kalau tak… Hawa tak tahulah. Abang… Hawa harap perkahwinan ini adalah lembaran baru dalam hidup kita. Segala yang Hawa coretkan dalam diari ni, hanya untuk tatapan abang seorang saja. Segala nukilan ini adalah untuk bacaan abang saja. Dan ini adalah kali terakhir Hawa menulis untuk abang. Lepas ini takkan ada dah… sebab, Hawa dah ada abang di depan mata Hawa. Siapa pun abang sebelum ni… teruk macam mana pun sikap abang sebelum ni, Hawa takkan mengungkit sebab Hawa nak kita sama-sama cari keredhaan Allah dalam hubungan suci ini. Hawa nak kita sama-sama dekatkan diri dengan DIA supaya diberkati hubungan yang halal ini. Dan sebagai penutup kalam… diari untuk suamiku, Hawa bimbang tak sempat nak luahkan secara bersemuka dengan abang perkara ini… apa yang Hawa rasakan pada saat ini. Setelah hampir dua jam menjadi Puan Nur Hawani, Hawa rasa… perasaan yang sangat indah. Buat suamiku, Muhammad Rizman Huzaimi… Nur Hawani Bazli sangat mencintai abang. Dari detik ini dan insyaAllah, akan kekal hingga ke sana. Selamat pengantin baru abang sayang… Ingat ya, Hawa sangat sayangkan abang =) Salam dan sayang untuk abang, Isteri abang, Nur Hawani. Abang ingat sayang. Abang akan sentiasa ingat yang sayang sangat sayangkan abang. Ucapan itu disahut hatiku. Hatiku sudah mula dibanjiri rasa pilu. Mataku berkalih semula ke sebelah katilku yang kosong. Dan tidak pernah berpenghuni pun selama ini. Bagaimana hendak diungkapkan apa yang bersarang dalam hati, di kala bahagia melingkari diri, segala sudah ditarik kembali. Allah Maha Kuasa. Dia lebih sayangkan Hawa. Dan catatan terakhir Hawa adalah benar-benar hari terakhirnya bernafas di muka bumi ini. Dia pergi meninggalkan aku mengharungi hari-hari mendatang membawa gelaran pengantin baru itu dengan seorang diri. Saban malam aku menangis. Saban malam aku merintih. Yang aku ada untuk dikenang, hanyalah diari Hawa yang membuatkan aku seolah berbicara dengannya. Hanya ini saja yang membantu aku mengenali diri isteri aku. Walaupun dia tidak pernah berbicara dengan aku walau sepatah pun semasa nyawanya masih ada, tapi segala coretannya sama seperti dia sedang berbicara denganku. Luahan hatinya yang membolehkan aku tersenyum juga walaupun hati bersalut duka ketika terkenangkan dia. Setiap catatan Hawa pasti ada menyebut, Hawa akan doakan abang. Tak lupa sekalipun. Sekarang ini tanggungjawab aku pula… abang akan doakan Hawa. Semoga dicucuri rahmatNYA. InsyaAllah, nantikan abang di SANA sayang… abang sangat mencintai sayang. Muhammad Rizman sangat mencintai Nur Hawani. Biarpun kita tak dapat berdamping di dunia untuk tempoh yang lama… insyaAllah, semoga sayang akan menjadi pendamping abang di SANA kelak. Tanpa aku pinta, air mataku sudah mula menitis. Perlahan aku menutup semula ‘diari untuk suamiku’ yang selamat berada dalam simpanan aku sudah tiga tahun lamanya. Aku letakkan ia di sisi katil yang juga memuatkan gambar pernikahan aku dan Hawa. Senyuman manis itu tak akan sirna dari ingatan sampai bila-bila. Itulah senyuman yang paling manis Hawa hadiahkan buat diriku. Buat dia yang bergelar suami Hawa. Dan benarlah kata Hawa… senyuman yang terukir di wajah itu sememangnya sangat indah dan tiada tolok bandingannya. Dari Penulis: Bahagia itu tak semestinya dirasai dengan kehadiran jasad insan yang kita sayangi di sisi. Kenangan itu pun ada kalanya sudah cukup membahagiakan.
No comments:
Post a Comment